JOHOR BAHRU – Dua lelaki warga Singapura menggunakan bot rekreasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa semasa membawa ubat batuk yang dipercayai untuk dijadikan dadah.
Bagaimanapun taktik itu terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 melakukan pemeriksaan ke atas bot berkenaan di sebuah jeti di Masai di sini pada pukul 6 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dua lelaki warga asing yang ditahan itu berusia 45 dan 50 tahun.
“Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas lima tong yang mengandungi cecair hitam berjumlah 130 liter disyaki ubat batuk bernilai RM75,150.
“Tong tersebut diletakkan di tempat penyimpanan ikan sebelum bahagian atasnya ditutup dengan alat menangkap ikan. Mereka menggunakan bot rekreasi supaya kegiatan mereka tidak disyaki.
“Bot berkenaan milik salah seorang suspek dan didaftarkan di Singapura.
“Siasatan mendapati ubat batuk berkenaan di negeri ini dan untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Katanya, turut dirampas sebuah bot fiber bernilai RM270,000; enjin bot jenis Mercury RM120,000, empat telefon bimbit dan satu rangkai kunci bot.
Menurut beliau, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM465,150.
Raub memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bertindak sebagai transporter iaitu mengambil bekalan ubat tersebut daripada pembekal di negeri ini untuk dihantar ke luar negara.
Ujarnya, siasatan awal mendapati mereka mendapat upah RM120 untuk satu tong itu sebelum dijual kepada pembeli di luar negara untuk diproses menjadi ubat batuk lebih kuat atau dijadikan dadah.
Hasil ujian saringan air kencing katanya, mendapati seorang suspek positif dadah jenis Nimetazepam, manakala seorang lagi bebas daripada sebarang bahan terlarang.
Kedua-dua suspek berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 7 Disember ini untuk siasatan lanjut, katanya.
Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 9(1) dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Jika sabit kesalahan tambahnya, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.- MalaysiaGazette