IPOH – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis, sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri Perak 2025 yang memperuntukkan hampir RM1.52 bilion dan ia menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri.
Seramai 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025.
Perbahasan yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin itu melibatkan 19 ADUN daripada blok kerajaan, sementara 25 daripada daripada blok pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini membentangkan Belanjawan Negeri 2025 dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta dan pembangunan RM538 juta.
Bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ belanjawan negeri itu menumpukan kepada kesejahteraan rakyat; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan modal insan; kelestarian alam sekitar dan keterjaminan bekalan makanan.
Ketika berucap menggulung perbahasan belanjawan Saarani berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua ADUN baik daripada blok kerajaan mahupun pembangkang kerana senada menyokong belanjawan negeri yang telah dibentangkan pada Jumaat lalu.
“Saya amat bersyukur kerana semangat itu terpancar sepanjang perjalanan perbahasan dimurnikan dengan pelbagai pandangan dan teguran membina.
“Ia sekali gus menyerlahkan kematangan kita di Perak untuk sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan ideologi kepartian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Speaker DUN Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumkan belanjawan negeri diluluskan pada bacaan kali kedua dan ketiga selepas undian secara suara oleh 58 ADUN tanpa pindaan.
Dalam persidangan sama turut menyaksikan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar sekali lagi dipilih sebagai sebagai Ahli Dewan Negara bagi Negeri Perak untuk tempoh tiga tahun.
Saarani mengusulkan Shamsuddin, 75, sebagai calon daripada wakil blok kerajaan, semantara blok pembangkang diwakili ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin yang mewakili ADUN Gunung Semanggol mengusulkan Bendahari PAS Perak, Ismail Arifin.
Mohammad Zahir Abdul Khalid memaklumkan bahawa pemilihan dibuat secara undian bersurat dengan semua ADUN diberikan kertas undian bagi memilih seorang calon yang diumumkan.
Keputusan undian menyaksikan Shamsuddin memperoleh 33 undian sementara Ismail (25 undi).
Selain itu, DUN Perak turut menyaksikan ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah.
Usul itu dibawa wakil rakyat pembangkang, ADUN Titi Serong, Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat dan disokong Muhammad Zulfadli Zainal (PN-Slim). – MalaysiaGazette