KUALA LUMPUR – Malaysia memantau ancaman kenaikan 100 peratus tarif yang akan dikenakan sekiranya negara anggota BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) meneruskan hasrat untuk membangunkan matawang baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, biarpun negara masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi, pemantauan secara rapat sebarang perkembangan perlu kerana ia mungkin memberi kesan kepada negara.
“Penggunaan matawang lain oleh Malaysia dalam urusan perdagangan dan pelaburan perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan dan sebarang keputusan mengenai perkara ini hendaklah berlandaskan kepentingan negara serta selari dengan dasar-dasar semasa negara.
“Memandangkan dolar Amerika Syarikat masih memainkan peranan yang besar dalam sistem kewangan dunia dan ancaman kenaikan 100 peratus tarif akan dikenakan sekiranya negara anggota BRICS meneruskan hasrat untuk membangunkan matawang baharu, adalah penting bagi Malaysia yang masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi untuk terus memantau secara rapat sebarang perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan Presiden Amerika Syarikat (AS) telah mengancam untuk mengenakan 100 peratus tarif ke atas negara-negara BRICS yang sedang dalam perancangan untuk menggantikan dolar AS dan apakah pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS.
Mengulas lanjur, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 13 negara yang menjadi rakan kongsi BRICS namun masih belum menjadi anggota itu secara rasmi.
Menurutnya, selaku negara rakan kongsi BRICS, kerajaan cakna terhadap situasi semasa terutamanya behubung ancaman bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang bercadang untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara perkumpulan BRICS sekiranya negara-negara BRICS meneruskan hasrat untuk menggunakan mata wang baharu.
“Walaupun salah satu topik yang pernah dibincangkan semasa sidang mesyuarat BRICS adalah berkaitan pengurangan kebergantungan kepada matawang tradisi perdagangan seperti dolar AS, namun setakat ini tiada cadangan rasmi yang telah dipersetujui bagi tujuan de-dollarisation.
“Dalam hal ini adalah perlu supaya peranan dan hala tuju BRICS dilihat secara lebih holistik dan bukan semata-mata dilihat sebagai satu platform hanya untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara-negara barat.
“Pada pandangan Malaysia, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat (non-binding),” katanya. – MalaysiaGazette