KUALA LUMPUR – Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) diarah keluar dan digantung selama 10 hari daripada menghadiri sidang Parlimen kerana didakwa menghina Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Johari yang membuat keputusan itu mengambil kira dua kesalahan yang dilakukan Awang Solahuddin iaitu tuduhannya terhadap pegawai pemimpin DAP yang dikatakan menyimpan wang berjumlah RM97 juta di rumah susulan penemuan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tuduhannya terhadap Johari menerusi aplikasi TikTok.
Johari menggesa supaya Awang Solahuddin menarik balik kenyataan yang dikeluarkan terhadap DAP tanpa memanjangkan isu tersebut kepada perkara-perkara lain.
Mendengarkan gesaan itu, Awang Solahuddin membuat permohonan maaf dengan dimulakan dengan sepotong ayat al-Quran dan seterusnya menarik balik tuduhannya terhadap DAP.
Johari kemudiannya membacakan kesalahan kedua yang dilakukan Awang Salahuddin yang mempunyai kaitan dengan diri.
Menurut Johari, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu telah memuat naik hantaran di TikTok yang dianggap menghina beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, 18 Julai lalu.
Beliau juga sudah beberapa kali meminta Awang Solahuddin menarik balik kenyataan itu menerusi beberapa individu namun tidak diendahkan sehingga ke hari ini.
Johari menegaskan, kenyataan negatif yang dikeluarkan oleh Awang Solahuddin terhadap beliau bukan sahaja satu dakwaan yang sangat serius tetapi juga telah menjadi hak kesinambungan beliau sebagai ahli Parlimen dan merupakan satu penghinaan kepada Dewan Rakyat.
“Memandangkan Yang Berhormat tidak memohon maaf kepada saya sebagai Speaker, maka saya memerintahkan kepada Yang Berhormat untuk keluar dari dewan ini untuk tempoh 10 hari menggunakan peraturan mesyuarat 44 (2),” tegasnya.
Kenyataan Johari itu kemudian cuba ditemplak Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang menyatakan, Speaker tidak wajar mengeluarkan arahan itu dengan menggunakan peraturan Rakyat Dewan kerana ia berlaku di luar.
“Adakah Yang Berhormat menggunakan keputusan 44 (2) sebagai Speaker sedangkan ia berlaku di luar dewan. It is not proper.
“Kalau tindakan begini dilakukan oleh Yang Berhormat terhadap perkara yang berlaku di luar Dewan (maka) sebahagian besar dari Dewan ini akan dihalau keluar.
“Sepatutnya peraturan 44(2) hanya boleh digunakan terhadap kelakuan atau perkataan yang berlaku di dalam Dewan sahaja,” katanya.
Beberapa orang ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang kemudiannya bangkit hingga menyebabkan suasana di dalam dewan riuh rendah.
Johari kemudiannya memberi peluang kepada beberapa ahli Parlimen untuk memberikan pandangan masing-masing berhubung perkara itu.
Ia kemudian menjadi perdebatan hangat di antara ahli dewan di blok kerajaan dan pembangkang yang menggunakan kesempatan itu untuk berhujah yang akhirnya menimbulkan ketegangan.
Situasi hingar bingar itu berlarutan hampir setengah jam menyebabkan persidangan sesi pagi sebelum berhenti rehat pada sebelah tengahari terganggu.
Johari dilihat beberapa kali meninggikan suaranya bagi mententeramkan keadaan yang semakin tidak terkawal.
Bagaimanapun, beliau kemudian memberi peluang kepada Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) untuk mengemukakan pandangan bagi mencari penyelesaian terhadap kekalutan yang berlaku.
Hassan memberikan pandangannya dengan mengatakan, adalah lebih baik sekiranya Awang Solahuddin dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diputuskan mengenai tindakan yang wajar dikenakan terhadap ahli Parlimen pembangkang itu.
Setelah beberapa ketika, Awang Solahuddin kemudiannya akur dengan arahan Johari itu untuk meninggalkan dewan. – MalaysiaGazette