KUALA LUMPUR – Amalan berpuasa mampu mengelak ketagihan seseorang individu daripada mengambil gula menerusi makanan dan minuman yang manis.
Menurut seorang doktor perubatan, Dr Siti Juariah Kusni, ia kerana puasa itu dapat merendahkan paras gula dalam darah menjadi semakin stabil selain merendahkan kolesterol dan mengurangkan tekanan darah sistolik.
Beliau berkata, orang ramai boleh mencuba puasa bersela atau intermittent fasting (IF) yang kini semakin popular diamalkan untuk mengurangkan berat badan.
“Puasa boleh dimulakan bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang di mana individu itu tidak boleh makan dan hanya boleh minum kosong atau teh hijau dan kopi kosong tanpa gula.
“Selepas apabila keadaan sudah menjadi biasa, mereka boleh memanjangkan puasa dengan tempoh lebih lama sehingga 16 jam dan tempoh makan selama lapan jam di mana makanan yang diambil adalah makanan solid sahaja seperti protein dan fiber yang lebih,” katanya pada Seminar Awareness Diabetes Djue Wellness di sini semalam.
Beliau yang kini merupakan pengasas dan pemilik pusat rawatan kesihatan alternatif, D’Jue Wellness pernah berkhidmat di hospital kerajaan selama tujuh tahun sebelum membuka klinik sendiri.
Mengulas lanjut, Siti Juariah memberitahu, majoriti rakyat negara ini sudah memiliki pra diabetes kerana tersalah memilih makanan sejak kecil.
Jelas beliau, pengambilan gula secara berlebihan selain makanan proses antara punca mengapa peratusan rakyat Malaysia mengidap sakit kronik seperti kencing manis.
Malah, katanya, pengambilan buah-buahan juga perlu tepat kerana ia turut mengandungi gula dengan menyarankan memilih buah sihat seperti avocado, belimbing dan jambu batu.
“Untuk sihat, mentaliti harus dibetulkan dan diubah terlebih dahulu denga mencari ilmu yang dapat memberi nasihat dan panduan bagaimana mengamalkan gaya hidup sihat.
“Nasihat utama saya ialah selesaikan dahulu masalah akar dan punca penyakit kerana jalan penyelesaiannya adalah kita perlu mulakan dengan menjaga pemakanan,” katanya.
Siti Juariah menambah, kempen meningkatkan kesedaran serta pengetahuan meluas dalam aspek kesihatan berkaitan penyakit diabetes perlu dikerap diadakan sepanjang.
Katanya, menyedari peningkatan kadar pesakit diabetes yang semakin ketara setiap tahun sehingga meletakkan Malaysia dalam senarai negara utama di rantau Asia Tenggara mencatatkan kelaziman diabetes tertinggi dan memerlukan satu tindakan drastik perlu dilakukan oleh semua pihak. – MalaysiaGazette