KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar hari ini didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjumlah RM8 juta.
Bagaimanapun Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia di mana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet) kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan. – MalaysiaGazette