SEKINCHAN – Benih kerang atau lebih dikenali sebagai “emas hitam” boleh mencecah harga antara RM3,000 hingga RM6,000 bagi setiap satu tin seberat 18 kilogram (kg) yang mengandungi sehingga sejuta biji kerang mengikut saiz.
Oleh kerana hasil laut itu sentiasa mendapat permintaan tinggi, benih kerang sering menjadi sasaran sindiket sebelum diseludup ke di negara jiran untuk diternak di perairan luar negara.
Pantai Redang di sini, antara ladang benih kerang semulajadi yang menjadi sasaran sindiket saban tahun, bukan sahaja mengutip, bahkan merosakkan benih hidupan lain termasuk mentarang yang musnah dek penggunaan bot ekor biawak.
Menurut sumber MalaysiaGazette, meskipun Jabatan Perikanan Negeri Selangor giat melakukan operasi membanteras aktiviti mengutip benih kerang secara haram sepanjang tahun, namun sindiket itu tetap kembali meskipun pelbagai peralatan dirampas.
“Sindiket ini bukan warga asing, ia didalangi orang tempatan yang mengaut keuntungan hingga mencecah jutaan ringgit hasil daripada aktiviti mengutip benih kerang dan dijual di Thailand setiap kali musim tuaian,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Selain itu, kata sumber, penyeludup biasanya menggunakan tongkah atau sampan kecil untuk meluncur di permukaan lumpur ketika mengutip benih kerang sebelum dibawa ke daratan.
Modus operandi itu menyebabkan bot Jabatan Perikanan Negeri Selangor sukar mendekati mereka menerusi perairan kerana lumpur, sebaliknya terpaksa menunggu di daratan.
Menurut sumber, aktiviti mengutip benih kerang secara haram itu dikesan penduduk setempat sejak seminggu lalu dan ia dilakukan pada waktu siang dan malam, tanpa perasaan takut terhadap tindakan penguatkuasaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar yang dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, pihaknya menyita sampan rotor, peralatan tangguk nyamuk atau halus serta anak kerang di dalam guni, dipercayai diambil di perairan di sini, pada Selasa.
“Rampasan itu hasil pemantauan pihaknya di Pantai Redang, di sini dan Pantai Bumi Hijau, Bagan Nakhoda Omar telah mendapati berlaku aktiviti kecurian anak dan benih kerang.
“Anggaran nilai sitaan sebanyak RM12,000 dan kesemua barang sitaan telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel, Kuala Selangor untuk tindakan pihak jabatan,” kata kenyataan agensi penguatkuasaan itu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berjaya merampas 24 guni anak kerang yang disimpan di dalam tong ikan bernilai RM13,000 hasil tangkapan ke atas seorang warganegara permastautin tetap dan warganegara Indonesia tanpa dokumen, pada Khamis.
“Jabatan Perikanan Negeri Selangor telah bergerak atas pemakluman tangkapan dan sitaan yang telah dibuat oleh Pasukan Gerakan Am PDRM di sekitar Sungai Kajang, Tanjong Karang.
“Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002.
“Jabatan Perikanan Negeri Selangor mengingatkan dengan tegas bahawa tiada seorang pun boleh mengambil apa-apa anak kerang (4mm ke bawah) dari suatu tapak kerang semulajadi atau tapak kerang kultur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette