KAPAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan bot dan kapal minyak kerana disyaki memindahkan minyak secara haram dari kapal ke kapal di perairan Selangor awal pagi ini.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal Maritim Malaysia telah mengesan aktivitiitu ketika sedang terlibat dalam rondaan rutin bagi Op Ehsan/Op Murni/Op Tiris 3.0/Op Redback.
“Pasukan peronda Maritim telah mengesan dua kapal yang merapat antara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di sekitar 0.7 batu nautika Barat Daya Kapar.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal sedang melakukan pemindahan minyak secara ‘Ship To Ship’ (STS) tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, dua Master dan dua Ketua Jurutera daripada bot tunda dan kapal minyak tersebut dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk membantu siasatan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru kapal yang terdiri daripada warga Myanmar dan Indonesia berumur antara 22 tahun hingga 53 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran.
“Sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette