Logo Kementerian Kesihatan Malaysia di Kementerian Kesihatan Malaysia, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 FEBRUARI 2020.

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman susulan dakwaan seorang doktor yang mendakwa dipukul ketika dalam perkhidmatan di Hospital Gerik.

Pengarah JKN Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan selepas pihaknya menerima aduan pada 4 Jun lalu.

“Sebuah Jawatankuasa Siasatan Dalaman telah ditubuhkan dan siasatan telah dilaksanakan pada 12 Jun lalu. Hasil siasatan mendapati bahawa aduan tersebut adalah berasas.

“Susulan itu, Pengarah Hospital Gerik telah mengeluarkan surat teguran kepada pegawai yang terlibat pada 31 Julai lalu.

“Surat pemakluman hasil siasatan dalaman telah dihantar kepada pengadu pada 1 Ogos 2024,“ katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, JKN Perak turut menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas bagi insiden tersebut.

“Pihak JKN Perak telah berhubung dengan pengadu dan menawarkan perkhidmatan kauseling.

“KKM memandang serius sebarang perlakuan buli atau penggunaan kekerasan dan mempunyai toleransi sifar terhadap sebarang bentuk kekerasan di tempat kerja,” tegasnya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook bernama Aidid Nawawi Ghazali menerusi sebuah hantaran menceritakan pengalamannya yang mendakwa dia dipukul oleh seorang penolong pegawai perubatan kira-kira lima bulan lalu. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here