KLUANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah di Kilometer 20, Jalan Kluang- Batu Pahat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kemalangan pada pukul 10.30 malam itu melibatkan motosikal mangsa dan sebuah kereta.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 23 tahun berada di laluan jalan terus dari arah Batu Pahat menghala ke Parit Raja.
“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat terbabit, berlaku perlanggaran dengan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita tempatan berumur 37 tahun.
“Kereta berkenaan datang dari arah bertentangan telah membelok ke arah sebelah kanan di mana telah menghalang laluan motosikal.
“Berdasarkan saksi-saksi awam di tempat kejadian dan rakaman kamera papan pemuka kenderaan lain yang merakam kejadian dipercayai kereta tersebut tidak berhenti semasa lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shahrulanuar, penunggang motosikal berkenaan tercampak ke dalam longkang akibat pelanggaran tersebut manakala motosikalnya pula tercapak di bahu jalan.
Penunggang motosikal itu katanya, Muhammad Rasyiid Sa’addodin iaitu pekerja swasta beralamat di Kampung Parit Balak, Senggarang di sini cedera parah.
Menurut beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.
Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu agar membantu siasatan polis dengan menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat 07-4343999.- MalaysiaGazette