KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong cadangan supaya fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di ATM dimansuhkan.
Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, fi tersebut memberi tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
“Caj ini dilihat membebankan kerana ramai pekerja yang tinggal di kawasan pedalaman atau kurang akses kepada ATM bank mereka sendiri terpaksa menggunakan perkhidmatan bank lain.
“Fi RM1 mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada mereka yang sering mengeluarkan tunai.
“Pekerja yang menerima gaji secara mingguan atau harian, contohnya, akan menanggung beban kewangan lebih tinggi kerana kekerapan pengeluaran.
“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, setiap sen adalah sangat bermakna untuk golongan pekerja dan keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas MTUC, institusi kewangan dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkhidmatan mereka tidak menjejaskan kebajikan rakyat.
Katanya, pemansuhan fi itu akan menunjukkan keprihatinan mereka terhadap golongan rentan dan membuktikan bahawa sektor perbankan di Malaysia bersedia untuk menyokong rakyat, terutamanya pekerja yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Kami mengambil maklum bahawa semasa pandemik Covid-19, fi ini telah dimansuhkan sebagai langkah membantu rakyat menghadapi cabaran kewangan.
“Oleh itu, MTUC percaya pendekatan ini harus dikembalikan kerana rakyat masih menghadapi kesukaran kewangan dalam proses pemulihan ekonomi.
“MTUC turut menyokong cadangan agar golongan tertentu, seperti pekerja berpendapatan rendah, warga emas, dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, diberikan pengecualian sekiranya pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dilaksanakan,” katanya lagi.
Selain itu, MTUC turut menyeru Bank Negara Malaysia, PayNet, dan semua institusi kewangan untuk mengambil langkah segera memansuhkan fi tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan 11 bank yang lain supaya memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di mesin pengeluaran automatik (ATM).
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, fi yang dikenakan kepada pelanggan ,itu membebankan keluarga berpendapatan rendah. -MalaysiaGazette