ALOR SETAR – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika menyeberangi jambatan kayu ‘Water Breaker’ Kuala Chenang di Langkawi, malam semalam, ditemukan lemas petang tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata, mayat mangsa Che Yassin Che Ngah, 43, dari Kampung Perana, Ulu Melaka di sini ditemukan 6.10 petang, di perairan Kuala Chenang kira-kira 150 meter daripada lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa ditemukan anggota Agensi Penguatkuasaan Martim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sebelum dibuat pengecaman oleh isteri mangsa.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian 11.30 malam semalam, Che Yassin yang baharu selesai memancing bersama adik iparnya terjatuh ke dalam laut, ketika melalui jambatan berkenaan setelah terpijak kayu reput. – Bernama