KUALA LUMPUR – Peralatan hidangan sebuah restoran yang mempromosi peralatan hidangan makanan dan minuman memaparkan cetakan gambar pemimpin komunis dibeli secara dalam talian.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan mendapati peralatan itu dibeli oleh teman lelaki pemilik restoran berkenaan yang merupakan seorang warga China yang kini berada di negara asalnya.
“Malah, kesemua barangan yang tertera tulisan Cina dan imej pemimpin komunis itu juga dipercayai digunakan sejak restoran itu dibuka operasi kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, sebuah restoran barbeku yang terletak di Jalan Kasuarina 6/KS7, Bandar Botanic, Klang diserbu polis selepas didapati menggunakan peralatan makanan bagi mempromosikan agenda komunis.
ARRIKEL BERKAITAN:Restoran promosi budaya komunis diserbu polis
Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima mangkuk seramik warna putih dengan catitan tulisan Bahasa Cina dan gambar muka Presiden Komunis China, Mao Zedong bersama rakan-rakannya.
Cawan kaca teh seramik tercatit tulisan Bahasa Cina berserta gambar, sudu sup seramik mempunyai gambar Mao Zedong
Menurut Razarudin, hasil siasatan lanjut mendapati premis itu menggunakan peralatan hidangan makanan dan minuman berunsurkan komunis sebagai strategi pemasaran untuk menarik pelanggan warga China merasai suasana kampung halaman mereka.
Sementara itu, beliau memberitahu, setakat ini hanya seorang individu sahaja ditangkap iaitu pengurus restoran terbabit dan polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 & 505(b) Kanun Keseksaan.
Selain itu katanya, semakan dengan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mendapati restoran tersebut mempunyai lesen sah perniagaan. – MalaysiaGazette