Reaksi Lee Zii Jia selepas tumpas kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Viditsarn pada perlawanan separuh akhir perseorangan badminton lelaki Sukan Olimpik Paris 2024. AFP

KUALA LUMPUR- Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia mengumumkan pengarah kejurulatihannya, Wong Tat Meng sah tidak lagi bersama Team LZJ musim depan.

Sehubungan itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu sedang mencari jurulatih baharu yang bakal membimbing beliau dalam kempen musim 2025.

Menurut Team LZJ, Tat Meng memutuskan untuk meneruskan fasa baharu dalam kerjaya kejurulatihannya dan akan meninggalkan pasukan itu selepas kontraknya tamat 31 Disember ini.

Sejak menyertai Team LZJ pada Julai tahun lalu, Tat Meng memainkan peranan penting dalam memulihkan prestasi Zii Jia sehingga kembali ke kelompok 10 pemain terbaik dunia.

Sepanjang tempoh tersebut, Tat Meng turut membantu Zii Jia meraih beberapa kejuaraan dan membawa pulang pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Jurulatih (Tat Meng) akan terus berkhidmat bersama Team LZJ sehingga kontraknya tamat secara rasmi pada 31 Disember 2024 dan kini sedang mempersiapkan Zii Jia menghadapi Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China akan datang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tat Meng atas kerja keras, dedikasi, serta kebijaksanaan dan bimbingannya sepanjang bersama Team LZJ,” menurut kenyataan itu.

Team LZJ turut mendedahkan mereka bakal melantik jurulatih baharu dan pengumuman tersebut akan dibuat tidak lama lagi.

“Pengumuman mengenainya akan dibuat pada masa yang sesuai. Pasukan juga sedang membuat persiapan bagi musim 2025 dengan mengambil kira Sukan Olimpik yang akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here