KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menggerakkan #SkuadIhsanMadaniKDN bagi misi bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu hari ini.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, #SkuadIhsanMadaniKDN itu digerakkan melibatkan seramai 100 orang sukarelawan.
Kesemua yang terlibat terdiri daripada pegawai AADK di ibu pejabat, Pejabat AADK Selangor, Pejabat Wilayah Persekutuan, Kelantan, Terengganu dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang.
“Kami memberi keutamaan bantuan pasca banjir kepada dua kawasan yang terjejas teruk iaitu di sekitar Pasir Mas, Kelantan dan Besut, Terengganu.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengkehendaki semua pejawat awam turut memainkan peranan yang sama dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Antara aktiviti yang akan dilakukan oleh sukarelawan termasuk menyantuni mangsa-mangsa banjir, melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan mengagihkan bantuan barang keperluan harian,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu Ruslin menyempurnakan sesi Flag Off #SkuadIhsanMadaniKDN ke Kelantan dan Terangganu bagi misi membantu mereka yang terkesan akibat kejadian bencana banjir di Ibu Pejabat AADK Kajang.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok dan Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Zainuddin Abdullah.
Dalam pada itu, Ruslin menambah, menerusi penubuhan skuad ini, AADK sentiasa bersedia untuk menggerakkan lebih ramai anggota bagi melaksanakan misi bantuan banjir ke negeri-negeri lain memerlukan.- MalaysiaGazette