KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu bertindak segera untuk menyusun kekuatan parti bagi menghadapi ujian selepas 50 tahun penubuhannya, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu berkata semua ahli mahupun kepimpinan parti perlu melihat tempoh itu bagi memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap BN.
“Kita tiada masa. Kita perlu segera menyusun semula kekuatan parti dan mengukuhkan kembali sokongan rakyat.
“Jangan terbuai dengan kejayaan pertempuran- pertempuran kecil sehingga kita lupa agenda untuk memenangi perang besar,” katanya dalam ucapan sambutan ulangtahun 50 tahun Barisan Nasional (BN) di Dewan Merdeka, Psuat Konvensyen Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid menggariskan tiga usaha untuk BN bergerak ke hadapan menghadapi 50 tahun mendatang.
Pertama, beliau berkata penjenamaan semula BN mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa.
Jelasnya, dengan pendekatan proaktif, inklusif, dan inovatif, Ahmad Zahid berkata BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman.
“Pendekatan Brand Humanization contohnya boleh memperkukuhkan usaha ini dengan menunjukkan sisi BN yang lebih mesra dan manusiawi.
“Pemimpin perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat. Sikap rendah hati ini akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.
“Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen,dan pengisian media sosial – sekaligus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda dan generasi digital,” kata Ahmad Zahid lagi.
Ahmad Zahid berkata, langkah kedua melibatkan mentakrifkan semula adalah dengan BN menyusun semula hala tuju dengan visi dan misi jelas, selaras dengan aspirasi Malaysia yang berpaksikan masa depan.
“Kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan perlu mengikut kepada acuan masyarakat yang rencam dan pelbagai.
“Dahulu, pendekatan kita lebih tertumpu pada cara tradisional dalam menyantuni rakyat. Kini, BN perlu berubah menjadi parti berasaskan data, memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.
“Malah, BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme,” katanya.
Presiden UMNO itu juga berkata, dari segi langkah ketiga iaitu menyusun semula, selain mengeratkan hubungan dengan rakan politik, BN turut perlu memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.
“Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan buat mereka yang aktif di lapangan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid lagi, kejayaan pilihan raya BN semasa di Nenggiri dan Mahkota juga adalah tindakan yang tepat mengikut kehendak rakyat.
“Jadi, kita susun sebaiknya, kenal pasti calon berpontensi lebih awal. Saya yakin dengan gerak langkah baharu ini, BN mampu menjadi sebuah kuasa dinamik yang merapatkan jurang tradisional, sekali gus mencorakkan hala tuju parti yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya lagi – MalaysiaGazette