Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa tersepit dalam nahas melibatkan lori satu tan di Kilometer 368.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River, tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM Perak

TANJUNG MALIM – Pemandu serta kelindan cedera apabila lori yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik dalam nahas di Kilometer 368.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River, tengah malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 12.59 tengah malam.

Menurutnya, sepasukan sembilan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Ketika tiba di lokasi didapati sebuah lori satu tan jenis Hino yang membawa muatan makanan sejuk beku terlibat dalam kemalangan.

“Pemandu lori warga tempatan berusia 20-an ditemui dalam keadaan tersepit manakala seorang lagi mangsa iaitu kelindan lori warga Bangladesh hanya mengalami kecederaan ringan.

“Tindakan operasi adalah membuat penyelamatan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan hidraulik.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan mengalami kecederaan di bahagian tangan dan siku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.35 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here