KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap pengamal media yang dilanda ujian tatkala menyampaikan tugasan pada masyarakat, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) meneruskan tradisi dengan menghulurkan sumbangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bukan semua pengamal media berkemampuan dan ia disalurkan melalui persatuan serta kelab media.
“Kita sedia maklum bahawa tidak semua pengamal media ini hdidup senang, ada yang dilanda ujian seperti anak ramai atau mengalami masalah kewangan.
“Disebabkan itu kita meneruskan tradisi sebagaimana tahun sebelumnya memberikan sumbangan melalui persatuan atau kelab masing-masing.
“Setiap persatuan akan kenal pasti 50 orang ahli mereka yang memerlukan dan masing-masing akan menerima sebanyak RM1,000 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan dan Amal YaPEIM bersama Media 2024 di Hotel Premiera di ibu negara malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YAPEIM, Ameer Ali Vali Mohammed serta Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus.
Sebanyak RM50,000 sumbangan diberikan YaPEIM kepada Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor, Kelab Media Putrajaya, Persatuan Wartawan Jenayah, Persatuan Penulis Sukan-Sukan Malaysia dan Persatuan Karyawan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd Na’im juga menekankan agensi media memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat sahih, tepat dan menyeluruh berkaitan hal ehwal agama.
Ujarnya, kerjasama diberikan media membolehkan masyarakat cakna terhadap peranan, sumbangan dan perkembangan agensi serta jabatan agama di bawah pentadbirannya.
“Kita bukan nak tunjuk baik dengan memberitahu apa yang sedang dilakukan (agensi agama) tetapi dalam konteks ini, agensi seperti YAPEIM tidak boleh bergerak sendiri.
“Perlu ada media yang boleh membantu menyampaikan apa yang sedang YAPEIM lakukan dan usaha agensi itu untuk membantu masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette