KUALA LUMPUR – Program Platform MG bertajuk Gaya hidup ke laut, punca ramai obesiti di usia muda? anjuran portal MalaysiaGazette yang diadakan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), mengupas masalah obesiti yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Menurut Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian HRC, Norhafizah Zainal, program ini dapat dilihat sebagai satu inisiatif yang efektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Perkongsian yang diterima daripada jurulatih dan panel hebat dalam program ini dapat memberi pendedahan tentang cara menguruskan berat dengan senaman dan pemakanan yang seimbang.
“Selain itu, kesihatan mental juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam mencegah penyakit ini.
“Kebanyakkan daripada kita cenderung mengambil makanan bergula secara berlebihan terutamanya ketika berhadapan dengan tekanan, situasi ini dipanggil emotional eating yang akan membawa kesan buruk kepada kesihatan jika tidak kawal,” katanya.
Norhafizah turut menambah bahawa program kesedaran seperti ini seharusnya dilakukan dengan lebih kerap lagi untuk membimbing masyarakat ke arah gaya hidup lebih sihat sekaligus membantu mengurangkan kadar obesiti di negara ini.
Sementara itu, jurulatih kecergasan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar berkata program ini membawa banyak manfaat kerana membincangkan banyak topik berkualiti melibatkan pemakanan, senaman, gaya hidup, dan kesihatan mental.
“Sebagai salah seorang panel, saya harap perkongsian kami sedikit sebanyak dapat memberi inspirasi kepada para peserta untuk diaplikasikan dalam amalan harian mereka.
“Dalam kesibukan dunia sekarang, kita masih perlu curi masa. Jika tanggungjawab terlalu banyak, mulakan dengan langkah kecil seperti aktiviti harian seperti berjalan, menaiki tangga dan bergotong-royong,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kesihatan merupakan adalah satu anugerah penting yang perlu dijaga sebaiknya.
“Oleh itu, saya rasa forum hari ini telah memberi kesedaran kepada peserta tentang keperluan dan pentingnya mempunyai badan yang cergas serta minda yang cerdas,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelakon terkenal tanah air, Diana Danielle Danny Beeson berkata, penganjuran ini sangat penting dalam mendidik masyarakat Malaysia tentang ancaman obesiti yang semakin meningkat.
“Kesihatan merupakan tanggungjawab setiap individu. Sebagai seorang Muslim yang dianugerahkan kesihatan tubuh badan oleh Allah, penting untuk kita jaga kesihatan bukan sahaja untuk riadah tetapi melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.
“Selain aktiviti riadah, faktor pemakanan juga penting kerana pengambilan makanan yang tidak sihat dapat mempengaruhi tenaga, emosi dan kesihatan secara keseluruhan.
“Topik yang memberi fokus kepada gaya hidup sihat dan pencegahan obesiti ini telah banyak menambah ilmu baharu untuk saya untuk menjalani gaya hidup lebih sihat dan produktif,” ujarnya. – MalaysiaGazette