KUALA LUMPUR – Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap keputusan Kementerian Pertahanan untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0).
Dengan ini, Shatesh juga menolak pandangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia Parlimen supaya agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan program ini.
Menurut Dr Shatesh, PLKN 3.0 mempunyai pendekatan yang lebih menyeluruh dengan pengenalan modul baharu seperti Elemen Jati Diri, Elemen Cinta Negara, dan Elemen Perpaduan yang tidak hanya menumpukan aspek ketenteraan semata-mata.
“PLKN 3.0 bukan sahaja melatih fizikal dan mental, tetapi juga membentuk disiplin, tanggungjawab, dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Mereka perlu memahami sejarah, identiti negara, dan berpegang kepada prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Malaysia,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menekankan kepentingan membekalkan generasi muda dengan nilai-nilai murni dan kepimpinan untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin kompleks.
Jelasnya, program ini penting bagi memastikan generasi muda tidak hanyut dalam dunia moden yang mencabar.
“Kita jangan lupa hakikatnya PLKN 3.0 ini adalah kunci utama untuk memperkukuh perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia. Program ini menyediakan ruang interaksi antara peserta pelbagai latar belakang budaya bagi membentuk masyarakat yang inklusif dan harmoni,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shatesh juga mencadangkan agar komposisi latihan yang merangkumi 70 peratus Latihan Asas Ketenteraan dan 30 peratus Elemen Kenegaraan diteliti semula.
“Saya saran agar elemen kenegaraan dinaikkan kepada 50 peratus. Penyediaan modul perlu berlandaskan Dasar Perpaduan Negara yang menekankan identiti dan perpaduan nasional.
“Juga cadangan agar selepas projek perintis di bawah Kementerian Pertahanan selesai, pelaksanaan penuh program ini diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara.
“Langkah ini memastikan agenda perpaduan berada di landasan tepat, sementara Kementerian Pertahanan terus memberi tumpuan kepada aspek keselamatan negara.
”PLKN 3.0 adalah satu keperluan mendesak untuk menjamin masa depan Malaysia harmoni dan rakyat yang bersatu padu pada setiap masa,” ujarnya. -MalaysiaGazette
PLKN 3.0 tidak perlu diteruskan – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen