KUALA LUMPUR – Tujuh lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti mencuri kereta untuk dijual dalam pasaran gelap pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia lingkungan 27 hingga 45 tahun.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada mangsa berkaitan kes pecah rumah dua tingkat di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang pada 26 November lalu.
“Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada pukul 5 pagi yang ketika itu mangsa berada di rumah dan mendengar bunyi bising di bahagian tingkat bawah.
“Mangsa memeriksa rumahnya dan mendapati kunci rumah, beberapa utas jam tangan, dompet dan kenderaan miliknya diparkir di hadapan rumah telah tiada.
“Berikutan kejadian itu, semakan mendapati mangsa mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM58,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan dijalankan membawa kepada serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sekitar Cheras dan Ayer Keroh, Melaka
“Dalam serbuan itu, kita telah merampas kenderaan mangsa jenis Honda CRV dan beberapa barangan lain yang telah dicuri.
“Semakan lanjut, mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaita jenayah dan dadah.
“Malah ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek juga didapati positif dadah,” jelasnya.
Mohd Azam juga memaklumkan, berikutan itu kes akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette