Kapal kontena yang dikesan dalam keadaan mencurigakan dan berlabuh tanpa kebenaran berjaya ditahan Maritim Selangor pada Sabtu lalu. - Gambar ihsan Maritim Selangor.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal kontena yang didapati melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenarann di perairan negara.

Kapal itu ditahan anggota penguat kuasa pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika barat daya Tanjung Karang pada pukul 1.40 petang semalam.

Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu menyusul hasil maklumat yang diterima daripada Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal kontena itu dalam keadaan mencurigakan pada pagi di perairan terbabit semalam.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kontena itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bertindak atas maklumat, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya telah menahan kapal kontena tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin, kapal itu difahamkan berdaftar di Panama bersama 20 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 30 hingga 59 tahun, warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapten kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh kepada anggota penguat kuasa Maritim.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan salah.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kepten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here