KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)  mendesak supaya Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan pemegang sahamnya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di ATM.

Menurut Setiausaha Agung Nube, J Solomon,  fi itu sangat membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah manakala PayNet bersama yang lain menikmati keuntungan lumayan melalui pemotongan saban hari.

Dakwa Solomon, PayNet dan sekutunya memperolehi RM544 juta dan keuntungan RM271 juta daripada fi pengeluaran tunai RM1 di ATM manakala rata-rata rakyat terus terbeban dengan syarat tersebut.

“Tahun lalu, PayNet meraih untung kasar RM544 juta dan untung bersih RM271 juta dan dilaporkan mengekalkan keuntungan terkumpul dari tahun terdahulu berjumlah RM1.43 bilion serta memiliki aset RM2.1 bilion.

“Mana keadilannya? Ini merupakan hasil daripada menindas kelas pekerja yang miskin. Yang miskin terus terbelengu manakala yang buat untung terus mengaut dengan seronok,” katanya dalam kenyataan.

Untuk makluman, kerajaan memberi pengecualian caj bagi sistem Malaysian Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS) bagi memudahkan orang ramai mengeluarkan tunai daripada ATM yang berkongsi sistem MEPS tanpa dikenakan bayaran RM1 pada 6 April 2020.

Namun pada 1 Februari 2022, pengecualian itu ditamatkan dan fi tersebut dikembalikan oleh pihak bank hingga kini.

Sebelum ini juga, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong cadangan supaya fi RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di ATM dimansuhkan.

Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, fi tersebut memberi tekanan tambahan kepada pekerja berpendapatan rendah, khususnya mereka yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.- MalaysiaGazette

Mansuhkan fi RM1 pengeluaran wang di ATM -MTUC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast