KUALA LUMPUR – Seramai 158 orang graduan terdiri daripada Doktor Falsafah, Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda dari pelbagai bidang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen ke-7 Perdana University di Putrajaya semalam.
Majlis konvokesyen berkenaan turut meraikan beberapa ikon dan pemimpin yang berjasa dalam pelbagai bidang dan lapangan dengan menganugerahkan pingat kehormat.
Mereka merupakan Allahyarham Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Tan Sri Mohamed Ismail Merican, Major Jeneral Bersara Datuk Pahlawan DR.Mohana Dass Ramasamy dan Dr Abd.Shukor Abd.Rahman.
Ia sebagai mengenang jasa, sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam bidang kesihatan, pendidikan, tadbir urus, perkhidmatan awam di negara ini dan juga peranannya dalam membentuk kecemerlangan universiti berkenaan selama 13 tahun yang lalu.
Mereka terdiri daripada 36 pelajar yang menamatkan pengajian dalam program perubatan (MB BCh BAO) Perdana University-Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) dan National University of Ireland (NUI), 29 graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, 84 graduan dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan (MBA&PhD), seorang program Fakulti Applied Sains dan Teknologi dan akhirnya lapan dari Fakulti Liberal Arts, Humanities dan Culture.
Perdana University juga menerima akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk Program perubatan pada September 2024 sekaligus menjadi batu loncatan untuk komitmen universiti berkenaan dalam kecemerlangan akademik dan inovasi dalam pengajian perubatan.
Konvokesyen ke-7 ini juga merupakan penutup kepada kerjasama yang dijalin oleh Perdana University bersama RCSI dan National University of Ireland (NUI) sejak 2011 setelah menawarkan dan menghasilkan graduan bidang perubatan.
Canselor Perdana University Tan Sri Dr.Suleiman Mohamed berkata, sudah tiba masa para graduan Perdana University yang kini bergelar alumni agar menggunakan segala ilmu yang ditimba di dunia kerjaya.
“Kamu semua telah melalui perjalanan yang penuh dengan cabaran dan kejayaan dan hari ini, kamu bersedia untuk memulakan perjalanan baharu.
“Dunia menanti kamu dengan tangan terbuka dan pelbagai peluang yang tidak terhingga dan berbanggalah dengan semua yang telah kamu capai, dan ingatlah nilai-nilai teras yang telah kamu kembangkan di Perdana University dengan berintegriti, ketahanan, belas kasihan dan kecemerlangan.
“Bawalah nilai-nilai ini bersama kamu, kerana ia akan menjadi panduan apabila kamu melangkah ke peranan yang pasti akan membentuk masa depan masyarakat kita,” katanya.
Dalam istiadat sama, beberapa pelajar cemerlang dalam bidang masing-masing termasuk perubatan dan Terapi Carakerja (Occupational Therapy) turut diraikan dengan beberapa anugerah dalam pengajian masing-masing oleh universiti antaranya Judianna Shalini menerima anugerah Canselor selepas menyerlah dalam pengkhususan Occupational Therapy, Hiew Wan Qi (Anugerah Naib Canselor) dan Darchayani Ganesan (graduan perubatan) mengondol lapan anugerah.-MalaysiaGazette