KUALA LUMPUR – Malaysia bernasib baik apabila diikat Kemboja 2-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh bagi aksi pertama Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024 malam ini.
Keputusan seri itu adalah pertama buat skuad negara berdepan Kemboja selepas merekodkan kemenangan bersih dalam 12 pertembungan terakhir sejak 1971.
Pujian dilemparkan kepada penyerang muda negara, Fergus Tierney apabila menyelamatkan maruah Harimau Malaya yang berada di ranking 132 dunia menerusi rembatannya pada minit ke-73 menghasilkan jaringan penyamaan.
Gol pertama penyerang berusia 21 tahun itu bersama pasukan senior Harimau Malaya.
Sebelum itu, aksi awal permainan menyaksikan tuan rumah menguasai permainan dalam 25 minit pertama dengan memperoleh beberapa peluang namun gagal menjelmakan sebarang jaringan.
Namun Harimau Malaya berjaya berada di depan apabila Stuart Wilkin melakukan tandukan terbang untuk menyudahkan hantaran daripada Daniel Ting pada minit ke-31.
Bagaimanapun, Kemboja berjaya mengikat keadaan selepas kegagalan Jimmy Raymond melakukan tampanan lebih kemas pada minit ke-52 mengundang padah apabila Abdel Kader Coulibaly menghasilkan gol penyamaan Kemboja.
Kemboja yang berada di ranking 180 dunia terus membuat kejutan apabila mendahului selepas Ty Sa meledak gol kedua pada minit ke-60, sekali gus memberi tekanan kepada Harimau Malaya.
Anak buah Pau Marti Vicente seterusnya akan menentang Timor Leste bagi aksi kedua Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Rabu ini. – MalaysiaGazette