KUALA LUMPUR – Pindaan khusus yang akan dibuat dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM) oleh kerajaan membolehkan kesalahan pedofilia dan menjual bahan pornografi dalam talian sebagai kesalahan yang boleh ditangkap.
Menteri Komunikasi Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pindaan itu bukan remeh tetapi akan memastikan penjenayah terutama yang terlibat dalam penjualan pornografi seperti dalam kes ‘hot daddy dan mereka menyimpan bahan-bahan lucah, jenayah seksual kanak kanak disiasat polis.
“Manakala bagi beberapa perkara yang lain kita jadikan perkataan contoh, bukan lagi jelik tapi ‘jelik melampau’ untuk pastikan bahawa hak kebebasan bersuara rakyat di Malaysia bukan hanya terjamin dan terbela tapi akan jadi lebih terperinci bersekali dengan huraian yang dimasukkan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lembah Pantai hari ini.
Katanya, pindaan seksyen tersebut mengandungi 51 muka surat jauh lebih baik setelah 26 tahun akta itu dikuatkuasakan di negara ini.
Tambah beliau, sebelum ini tidak terdapat huraian untuk perkataan jelik dalam seksyen berkaitan AKMM tetapi dengan pindaan yang dilakukan ini huraian itu dimasukkan untuk menjadi contoh sama ada dari segi pihak pendakwaan, pembelaan dan kehakiman agar dapat menafsirkan dengan lebih terperinci.
“Ini bagi saya lebih baik, walaupun ada tangkapan oleh beberapa pihak, namun setelah kita kaji lebih dua tahun prosesnya, kita membuat keputusan bahawa akan jadikan beberapa kesalahan lebih berat hukumannya dan boleh diambil tindakan lebih tegas selepas ini.
“Bagi aspek kebebasan bersuara, (pindaan) ia lebih terperinci dan tidak mudah disalahgunakan di masa depan oleh mana-mana pihak dan ini akan baik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette