KUALA LUMPUR – Cadangan agar penjawat awam mengisytiharkan harta hanya pandangan Ahli Parlimen Subang Wong Chen.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setiap ahli Parlimen mempunyai hak bersuara dan menyatakan pandangan masing-masing.
“Sebenarnya ramai ahli Parlimen sudah isytihar aset mereka, apatah saya sendiri sudah declare (isytihar) sebelum ini, dan itu tidak menjadi isu.
“Perbincangan mungkin dalam konteks apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Subang berkait penjawat awam itu adalah pandangan MP Subang itu sendiri.
“Ahli-ahli Parlimen sebenarnya memang bebas untuk bersuara dan menyatakan pandangan mereka dan tindakan mantan MP Bangi itu (kenapa ahli politik tidak disuruh declare aset) pandangan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita di Lembah Pantai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa diminta komen tentang bekas Ahli Parlimen Bangi yang mempersoalkan wakil rakyat Subang yang mendesak penjawat awam mengisytiharkan aset dan bukannya menteri atau ahli Parlimen.
Ditanya sama ada Kabinet akan menyenaraikan mereka yang mengisytiharkan harta seperti dipraktikkan oleh Tun Mahathir Mohamad sebelum ini, Fahmi berkata, perkara itu belum lagi dibincangkan.
Sebelum ini, Wong menyarankan hakim dan anggota perkhidmatan awam, termasuk para ketua setiausaha kementerian dan timbalan masing-masing, mengisytiharkan harta bagi meningkatkan ketelusan dan memupuk keyakinan.
“Jika kita tidak dapat melakukannya kerana sekutu-sekutu kita tidak berminat dengan isu sebegini, sekurang-kurangnya kita laksanakan ke atas penjawat awam.
“Mudah-mudahan apabila ahli politik kita sudah bersedia, mungkin mereka boleh melakukannya. Calon-calon PKR terkenal dengan pengisytiharan harta menjelang pilihan raya, namun kita tidak mahu memaksa DAP dan UMNO.
“Namun saya fikir sekurang-kurangnya kita mesti laksanakan ia di peringkat perkhidmatan awam. Langkah ini akan jadi suatu penambahbaikan yang besar,” katanya lagi.
Bagaimanapun Ong Kian Ming pula sebagai mempertikaikan desakan Wong Chen menyoal kenapa penjawat awam mesti didahulukan dalam soal terbabit.
“Mengapa penjawat awan perlu mendahului dalam mengisytiharkan harta mereka dan bukannya ahli politik yang dipilih rakyat,” soalnya. – MalaysiaGazette