KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan menubuhkan sebuah badan kawal selia premium perubatan yang bebas dan merangkumi pelbagai agensi bagi memastikan pelarasan premium oleh syarikat insurans serta keuntungan dan kos operasi hospital swasta adalah telus dan selaras dengan perubahan kos perubatan sebenar.
Saranan ini dibuat oleh Ahli-Ahli Parlimen Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang prihatin terhadap isu kenaikan premium perubatan, kata timbalan pengerusinya, Khoo Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka.
Menurutnya, cadangan ini bertujuan melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dalam aspek perubatan.
“Premium perubatan terus meningkat, khususnya dalam sektor insurans perubatan swasta. Peningkatan ini menarik perhatian seluruh negara kerana kadar inflasi perubatan di Malaysia secara konsisten lebih tinggi daripada purata global.
“Dalam tempoh lima tahun lepas, kadar pertumbuhan tahunan purata adalah antara 10% hingga 15% menyebabkan keluarga, golongan B40 dan M40, menghadapi tekanan ekonomi semakin berat, malah ada yang terpaksa mengorbankan perbelanjaan keperluan lain demi membayar premium insurans perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, sumber perubatan awam yang terhad dengan masa menunggu yang panjang dan kekurangan fasiliti mendorong lebih ramai rakyat memilih sistem perubatan swasta, yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap insurans perubatan.
Katanya, jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan, beban perubatan akan terus memburuk dan mengancam jaminan kesihatan rakyat.
Bawal selia ini ia membolehkan syarikat insurans dan hospital swasta mendedahkan struktur kos mereka bagi mengelakkan kenaikan premium yang tidak wajar akibat dorongan keuntungan yang berlebihan.
Selain itu, kerajaan boleh memperkenalkan subsidi khas untuk golongan B40 dan M40, seperti potongan 50% premium untuk keluarga yang layak.
Jelasnya, polisi insentif cukai juga boleh diperkenalkan bagi mengurangkan beban perbelanjaan insurans perubatan rakyat.
Kerajaan perlu mempercepatkan usaha memperkukuh infrastruktur institusi perubatan awam, seperti menambah jumlah katil, menaik taraf peralatan perubatan, dan meningkatkan bilangan profesional kesihatan.
Kerjasama yang lebih erat antara sektor perubatan awam dan swasta juga perlu dipromosikan bagi mengoptimumkan penggunaan sumber secara menyeluruh, ujarnya.
Khoo menegaskan, penjagaan kesihatan adalah hak asas rakyat, justeru kerajaan bertanggungjawab memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang mampu milik dan berkualiti tinggi.
Lantaran itu, beliau menyeru kerajaan, syarikat insurans, sistem kesihatan awam, dan organisasi masyarakat sivil untuk bekerjasama demi membentuk sistem penjagaan kesihatan yang mampan dan adil bagi seluruh rakyat.
Tambah beliau, syor-syor ini telah dibincangkan bersama Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, bagi mencari punca dan strategi mengatasi kenaikan premium perubatan. – MalaysiaGazette