KUALA LUMPUR – Seramai 120 sukarelawan pelajar dan staf Skuad Jiwa Putra Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan Misi Bantuan Pasca Banjir di tiga lokasi berasingan di Batu Gajah, Perak.
Misi ini membersihkan kawasan, pengagihan bantuan, dan sokongan moral kepada mangsa-mangsa.
Sukarelawan pelajar dan staf Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM tersebut dibantu oleh Majlis Daerah Batu Gajah, Pasukan Institusi Pertahanan Awam (KOR SISPA) UPM dan Kelab Insan UPM.
Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Mursyid Arshad berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan, surau dan premis perniagaan melibatkan pembersihan lumpur, sampah, dan persekitaran awam di Laman Menara Tanjak, Batu Gajah serta di kawasan awam, Sri Jaya, Batu Gajah.
“Misi ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir demi kesejahteraan esmosi dan fizikal mereka. Terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk memulihkan semula kawasan terlibat,” katanya yang memberi sumbangan 30 buah Bakul Rahmah berisi keperluan makanan asas kepada mangsa.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, Skuad Jiwa Putra UPM adalah pasukan yang dibentuk untuk membantu komuniti terjejas yang memerlukan bantuan, selari dengan motto UPM, “Berilmu Berbakti”.
“Skuad Jiwa Putra UPM ini adalah cetusan Naib Canselor UPM, Prof. Dato Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah untuk melahirkan graduan seimbang kemerlangan akademik dan nilai-nilai murni untuk bertanggungjawab kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette