KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merancang untuk memfailkan permohonan bagi menemu bual bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa yang telah disabitkan kesalahan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu ketika kepada hakim ketika prosiding bela diri 1MDB, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Difahamkan kemungkinan besar, pasukan peguam Najib akan membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Roger yang kini sedang ditahan di negara ini bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan kembali aset-aset diseleweng daripada dana 1MDB.
Roger merupakan satu-satunya pegawai bank Goldman Sachs yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB manakala saksi utama dalam perbicaraan itu ialah bekas ketuanya, Tim Leissner yang pernah menjadi pengerusi syarikat berkenaan di Asia Tenggara.
Ketika prosiding, mahkamah diberitahu permohonan itu bagi membantu Najib membebaskan dirinya daripada tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dihadapinya kerana mempercayai Roger mampu memberikan bukti bekas Menteri Kewangan itu tiada kena mengena dengan semua pertuduhan terhadapnya.
Pada Mac 2023, mahkamah Amerika Syarikat (AS) telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Roger selepas mengaku salah dengan penglibatannya dalam menggelapkan dana 1MDB.
Namun tahun sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan persetujuan pihak berkuasa AS telah membawa pulang Roger untuk membantu siasatan kes 1MDB.
Najib juga ketika membela diri telah beberapa kali menyebut wujudnya konspirasi oleh AS bersama pembangkang di negara ini berkomplot untuk menjatuhkan kerajaannya pada 2018 dengan pendakwaan disifatkannya bermotif politik.
Kata mantan Ahli Parlimen Pekan itu, AS juga telah menghalangnya daripada mendapatkan dokumen saksi iaitu Roger dan Liesner untuk membolehkan beliau membersihkan namanya di mahkamah di sini.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM42 juta dana daripada SRC International iaitu anak syarikat 1MDB. – MalaysiaGazette