KUALA LUMPUR – Sejumlah 4,424 kes penderaan kanak-kanak direkodkan berlaku di negara ini sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kebanyakan kes berlaku kepada kanak-kanak adalah daripada pelaku yang dikenali mereka.
“Daripada jumlah itu, tiga kes sahaja yang dilaporkan berlaku di taska (taman asuhan kanak-kanak). Yang lain-lain berlaku di tangan orang yang dikenali,” katanya dalam pertanyaan bagi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Noraini (BN-Parit Sulong) berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai apakah langkah atau solusi yang lebih efektif agar kes penderaan kanak-kanak di taska dapat dikurangkan.
Noraini dalam pada itu turut memaklumkan, kebanyakan kes penderaan terhadap kanak-kanak berlaku di taska tidak berdaftar dan kewujudannya tidak diketahui oleh pihak kementerian.
“Ini disebabkan kalau mereka mendaftar dengan kementerian atau taska tidak berdaftar ada dalam senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), notis peringatan itu kita telah keluarkan supaya mereka tidak beroperasi sehingga selesai proses pendaftaran,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata, bagi mengurangkan kes penderaan kanak-kanak, pihaknya telah melancarkan program advokasi kanak-kanak.
“Ia bagi memberi kesedaran, pengetahuan kepada masyarakat umum terutamanya kanak-kanak itu sendiri bagaimana dan apa yang mereka boleh lakukan dalam usaha untuk mengurangkan atau menidakkan langsung penderaan terhadap mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette