JASIN – Seorang bayi lelaki berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, di sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu disedari pengasuh wanita berusia 27 tahun apabila mendapati bayi berkenaan, Harraz Noah Nazrul Nizam, 6 bulan, dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya.
Bapanya, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29 berkata, dia dihubungi isterinya Ainol Izzah Raslan 25, kira-kira pukul 11.40 pagi dalam keadaan menangis teresak-esak memaklumkan pengasuh menelefonnya memaklumkan anak tunggalnya itu tidak sedarkan diri.
“Ibu saya yang lebih dekat dengan rumah pengasuh tiba beberapa minit kemudian dan melihat bibir Harraz sudah biru.
“Pengasuh mendakwa muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk melakukan tugas lain di rumah kampung itu.
“Ibu kemudian bawa anak saya ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan doktor memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka.
Menurut Nazrul Nizam, dia terkilan kerana baru semalam mengajar bayi sulungnya itu makan pisang namun tidak menyalahkan pengasuh berkenaan yang menjaga anaknya itu dengan baik sejak empat bulan lalu.
“Saya kenal pengasuh pun melalui media sosial dan dia sendiri pun mengaku ada pengalaman menjaga bayi sebelum ini tapi ternyata Allah lebih menyayangi anak saya.
“Sebelum ini pun pengasuh jaga anak saya dengan baik tanpa ada sebarang kejadian tidak diingini,”tambahnya.
Setakat pukul 7 malam tadi, jenazah masih menunggu proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau, esok.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – MalaysiaGazette