Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Tindakan ejen sindiket yang cuba menyogok polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan diri dan tiga tekong yang terlibat dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kelantan akhirnya memakan diri.

Mereka diberkas polis pada 7 Disember lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Ahli sindiket itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan oleh sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pada jam lebih kurang pada 6.30 pagi, pasukan operasi telah mengesan tiga buah kereta jenis Honda Civic, Perodua Myvi dan Perodua Ativa berada dalam keadaan mencurigakan di tepi semak di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu.

“Pasukan kemudin berjaya menahan ketiga-tiga kenderaan sebelum membawa kepada tangkapan terhadap tiga lelaki tempatan yang berusia lingkungan antara 27 hingga 32 tahun disyaki berperanan sebagai tekong seludup PATI.

“Pemeriksaan lanjut pasukan operasi juga berjaya menangkap seramai 16 PATI warga Myanmar terdiri daripada 11 lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak,” katanya hari ini.

Tambah Razarudin, hasil soal siasat terhadap salah seorang tekong yang ditahan membawa pasukan polis kepada tangkapan ejen sindiket berkenaan yang berusia 24 tahun berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Semasa dalam perjalanan ke balai polis, ejen yang ditahan itu cuba menyuap dengan menyerahkan wang tunai RM50,000 kepada pegawai polis sambil merayu dia bersama tiga tekong tempatan yang ditahan dilepaskan.

“Bagaimanapun, pegawai operasi itu kemudian memberi amaran tidak berbuat demikian tetapi suspek tetap cuba menyogok pegawai itu dengan wang terbabit sehingga menyebabkan suspek ditahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

“Susulan tangkapan sindiket itu, polis juga menyita kereta, telefon bimbit dan merampas wang tunai RM50,000 daripada geng seludup PATI itu,” ujarnya.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here