KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Ahmad Faizal Mohammad Tahir dilantik sebagai penasihat organisasi yang komited membantu pelarian Syria iaitu, Cinta Syria Malaysia (CSM).
Faizal menyifatkan pelantikannya itu sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa hormat dalam mengukuhkan misi kemanusiaan.
“Dengan keputusan ini, saya berharap dapat menggunakan pengaruh yang saya ada untuk meningkat kesedaran dan mencari lebih banyak peluang kolaborasi dalam terus memperjuangkan isu kemanusiaan ini secara bersama.
“Saya percaya setiap usaha kecil yang dilakukan ini akan membawa kepada satu langkah yang besar. Semoga pendidikan berkualiti dan bantuan kecemasan akan sentiasa sampai kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelantikan Faizal Tahir sebagai Penasihat SCM di Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia (PBACSM), Bangi, hari ini.
Penyanyi berusia 46 tahun itu juga percaya dengan sokongan semua, satu dunia dengan persekitaran yang lebih adil dan sejahtera dapat dibentuk.
“Dengan ini, saya menyeru semua pihak termasuk sektor awam, swasta dan individu untuk berganding bahu dalam menyemarakkan semangat kemanusiaan di tanah air,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang isu ketelusan dalam pengurusan sumbangan dan menekankan organisasi itu berpegang teguh kepada integriti dalam semua operasinya.
“Saya sudah bersama SCM 10 tahun dan pergi ke Syria bersama mereka sebanyak empat kali.
“Jika ada mana yang tidak jelas, saya juga perlu mengambil tanggungjawab ini sebagai seorang penasihat,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SCM, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman turut menambah pihaknya sedia menunjukkan gerak kerja operasi termasuk audit kewangan dan pengurusan kewangan.
“Sejak awal penubuhan, CSM telah beroperasi menggunakan dana peribadi selama lima tahun sebelum struktur organisai rasmi diwujudkan pada tahun 2017.
“Itu adalah jalan yang kami pilih dan kami akan terus komited memastikan setiap sumbangan sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Dalam mengumpul dana, pengumpulan dana bukanlah hanya satu-satunya cara. Kami juga sedang merancang strategi lain untuk meyakinkan penderma untuk terus menyokong perjuangan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette