SEPANG – Seorang lelaki ditemukan mati oleh orang awam selepas disyaki terjatuh dari sebuah rumah kedai dalam kejadian di Taman Murni, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui seorang lelaki tempatan dalam keadaan terbaring atas jalan dan tidak sedar diri.
“Lelaki ini dipercayai terjatuh dari tingkat 2 rumah kedai di Jalan Murni 8, Taman Murni Sepang dan mengalami cedera parah di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Putrajaya dan mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR), ujar beliau. – MalaysiaGazette