KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa beliau dan kerajaan yang diterajuinya telah dijatuhkan oleh pembangkang ketika itu dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) bawah pimpinan parti Demokrat.
Beliau berkata demikian semasa membela diri pada perbicaraan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM2.3 bilion dari kandang saksi di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dakwa Najib, usaha beliau bersama peguamnya untuk mendapatkan dokumen 1MDB untuk membela diri bagi membersihkan nama telah mendapat halangan birokrasi daripada mahkamah AS sejak 2021.
Beliau mendakwa, semua itu bermotifkan politik semata-mata mahu menjatuhkan beliau dan kerajaannya pada 2018.
“Saya percaya tindakan pelucuthakan AS ini bermotifkan politik dan dirancang sebagai sebahagian daripada kerjasama antara Parti Demokrat di Amerika Syarikat dengan parti pembangkang di Malaysia pada ketika itu untuk melaksanakan perubahan rejim di Malaysia.
“Saya juga percaya kerjasama ini mempunyai motif utama iaitu menyekat akses saya kepada bukti yang boleh membersihkan nama saya kerana ia akan mematahkan naratif mereka.Pastinya kebenaran tentang tuduhan dikenakan ke atas saya akan terdedah dan itulah yang mereka tidak mahu.
“Saya berpendapat DOJ AS melindungi bukti kerana ia pasti amat menguntungkan saya, dan dapat menyangkal dakwaan melulu dalam tindakan pelucuthakan sivil mereka, termasuk saman pelucuthakan yang difailkan DOJ pada 2016 dalam kes United States of America v Wolf of Wall Street Motion Picture,” katanya.
Tindakan AS itu didakwa Najib bermotifkan politik kerana permohonan beliau kepada peguam negara itu, Loretta Lynch tidak mendapat respon positif sebaliknya telah dihalang daripada mendapatkan keterangan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Tim Leissner dan Robert Ng.
Sebelum ini, Leissner telah mengaku bersalah pada 1 Nov 2018, antara pengakuannya salah termasuklah melakukan penggubahan wang menggunakan dana 1MDB selain menyogok pelbagai pegawai kanan Malaysia serta Abu Dhabi untuk memintas kawalan perakunan.
Manakala Ng pula dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di AS berikutan kesalahan penggubahan wang haram dan rasuah menggunakan dana 1MDB.
Najib telah memfailkan permohonan penemuan dokumen yang digunakan untuk perbicaraan Ng pada tahun 2021 di Mahkamah Selatan New York namun dimaklumkan bahawa AS terpaksa menjaga dan melindungi kepentingan pelaku-pelaku salah itu.
Prosiding sedang bersambung ketika ini.
Najib sedang membela dirinya dalam perbicaraan terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette