Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia pindaan 2024 yang bakal menawarkan reformasi kawal selia menyeluruh dan memberi jaminan keselamatan kepada pengguna internet di negara ini.

Pindaan terhadap akta tersebut diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 24 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, sejumlah 59 Ahli Parlimen bersetuju dengan pindaan tersebut dan 40 yang lain tidak bersetuju dengan pindaan berkenaan.

“Terdapat 222 Ahli Parlimen, yang tidak hadir adalah 122 ahli, tidak bersetuju adalah 40, seorang tidak mengundi dan setuju pula 59 Ahli Parlimen, maka pindaan ini dipersetujukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Berlaku undi belah bahagian ketika sesi itu apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bangun meminta untuk sesi belah bahagian.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, ia bertujuan melindungi data dan transaksi harian daripada pelbagai kemudaratan dalam talian, termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

Mengetengahkan kes penipuan dalam talian, beliau berkata, ia masih berleluasa walaupun pelbagai usaha pencegahan dilaksanakan atas beberapa faktor utama.

Katanya, scammer sentiasa mengembangkan modus operandi menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk menjadikan penipuan lebih canggih dan sukar dikesan.

RUU itu kata Fahmi, bertujuan menangani kemudaratan dalam talian, terutama media sosial dengan menambah baik peruntukan sedia ada, termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233.

Katanya, ia bakal memperkenal peruntukan baharu antaranya larangan menghantar, menyebabkan dihantar atau membenarkan penghantaran mesej elektronik komersial tidak diminta seperti spam yang kebanyakannya menjurus kepada penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here