PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil pemimpin tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang didakwa terlibat dengan salah laku untuk memberi keterangan.
Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun tidak menamakan individu tersebut.
Terdahulu jelas beliau, sehingga kini siasatan SPRM terarah kepada individu sahaja bukan keseluruhan entiti persatuan tersebut.
“Siasatan masih berjalan dan ada saksi tambahan telah dipanggil beri keterangan siasatan masih terarah kepada isu berkaitan elaun dan yang berkaitan.
“Siasatan ini hanyalah kepada individu bukan seluruh entiti organisasi BAM. “Saya tidak mempunyai maklumat tersebut tetapi jangan risau, individu berkenaan akan dipanggil. Seseorang dalam jawatankuasa berperingkat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di Kelana Jaya hari ini.
Sehingga kini, Azam berkata, seramai enam saksi dipanggil memberi keterangan.
Baru-baru ini, beliau mengesahkan pemberi maklumat atau whistleblower tampil kepada agensi itu untuk mendedahkan mengenai salah laku kepimpinan tertinggi BAM.
Sehubungan itu katanya, SPRM ketika ini tidak membabitkan dakwaan surat layang.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: