Keadaan dinding rumah milik Zauyah Deraman yang rosak dan berlubang akibat dilanda banjir, ketika tinjauan MalaysiaGazette di Kampung Ana, Tumpat. Foto SADIQ SANI, 07 DISEMBER 2024

PASIR MAS – Buntu untuk memulakan semula kehidupan selepas hilang harta benda ekoran dilanda banjir paling buruk dalam sejarah, penduduk di daerah ini kini merayu sumbangan dan bantuan pelbagai pihak untuk meneruskan kehidupan.

Mereka yang mula pulang ke rumah masing-masing selepas hampir dua minggu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kini bergelut untuk tinggal di kediaman masing-masing dalam keadaan rumah yang tidak boleh didiami dengan selamat dan sempurna.

Antara yang paling teruk terjejas adalah kira-kira 150 buah keluarga di Kampung Kedai Lama di sini, yang mana kesemua rumah penduduk di situ ditenggelami banjir sehingga mencecah paras bumbung.

Bimbang nasib penduduk itu terus terpinggir daripada sebarang bantuan kerana kedudukan kampung tersebut yang agak jauh di pedalaman, salah seorang penduduknya, Suhana Musa, 41, mengambil tanggungjawab merayu bantuan menerusi platform media sosial khususnya Facebook dan TikTok.

KEADAAN banjir yang mencecah paras bumbung rumah penduduk di Kampung Kedai Lama, Pasir Mas, Kelantan yang berlaku pada 27 November lalu.

Menurut Suhana, penduduk kampung itu kini sangat berharap bantuan dari segi tilam, selimut, bantal, pakaian dan tikar supaya dapat berteduh dengan sempurna di rumah masing-masing.

Katanya, semua keperluan asas milik penduduk itu musnah dan mereka kini tinggal sehelai sepinggang dan hanya tidur beralaskan papan dan simen di rumah masing-masing.

“Kebanyakan penduduk kampung ini hanya bekerja sebagai peniaga kecil-kecilan dan buruh kampung, mereka memang tidak mampu untuk membeli peralatan baharu untuk rumah masing-masing.

“Apatah lagi, mereka juga tidak dapat bekerja mencari rezeki dalam keadaan sekarang, jadi penduduk kampung ini sangat berharap sumbangan pihak luar supaya kami dapat meneruskan hidup semula,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah Suhana, dia sedia mengambil tanggungjawab mengumpul bantuan daripada pihak luar untuk diagihkan kepada penduduk kampung itu sekiranya ada mana-mana pihak sudi berbuat demikian.

Katanya, dia juga boleh membantu mana-mana pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin turun padang menyerahkan sendiri bantuan secara bersemuka kepada penduduk di kampung tersebut.

Ujarnya, pihak-pihak yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 011-29355523 dan dia juga akan menyerahkan bantuan yang diterima secara langsung menerusi platform media sosial Facebook dan TikTok kepada penduduk.

Keadaan banjir yang mencecah paras bumbung rumah penduduk di Kampung Kedai Lama, Pasir Mas, Kelantan yang berlaku pada 27 November lalu.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fatimah Mat, 60-an, turut merayu bantuan pihak luar membersihkan rumahnya yang dipenuhi dengan perkakasan dan barangan rumah yang rosak.

Ibu tunggal itu berkata, kudratnya bersendirian tidak mampu untuk membersihkan rumahnya yang dipenuhi lumpur apatah lagi perlu mengangkut air perigi yang terletak di luar rumahnya.

“Saya juga tidak dapat tidur dengan lena dan selesa sejak pulang ke rumah sebab keadaan rumah yang tidak terurus dan bimbang jika bertambah sakit selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast