Sistem pendidikan merupakan salah satu alat untuk membangun masyarakat seiring peredaran zaman. Sebelum merdeka, masyarakat khususnya orang Melayu lebih memilih pendidikan agama yang berfokus kepada pengajian Al-Quran dan kitab.
Sistem ini dijalankan secara tidak formal khususnya di surau dan pondok sebagai pusat pembelajaran, disamping melakukan aktiviti kemahiran hidup. Sistem ini kemudian berkembang dengan diperkenalkan kurikulum pendidikan secara formal terhadap sistem pengajian agama dan tahfiz. Umumnya, terdapat dua kumpulan pelajar tahfiz iaitu yang mengikuti sepenuhnya pengajian Al Quran tanpa pendidikan akademik. Kedua, kumpulan pengajian tahfiz yang mempunyai kurikulum bersepadu hingga ke SPM.
Terdapat ibu bapa yang menyedari kekurangan sistem pendidikan tahfiz ini dari segi pasaran pekerjaan. Graduan tahfiz khususnya yang tiada kelayakan akademik seperti SPM hanya boleh memenuhi peranan dalam sektor agama. Mereka menghadapi keterbatasan jika ingin masuk ke dalam sektor kemahiran lain.
Seiring dengan perkembang dunia Revolusi Industri 4.0, ibu bapa banyak beralih kepada sistem pendidikan seperti TVET yang memberi peluang lebih luas dalam pasaran pekerjaan. Oleh itu, pendidikan tahfiz melihat keperluan untuk masuk ke dalam pendidikan arus perdana. Sebuah sistem integrasi tahfiz dan TVET diperkenalkan untuk menyelesaikan masalah ini.
Melalui usaha integrasi tersebut, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dibentuk sebagai pelan jangka panjang mewujudkan sekolah tahfiz berkualiti tinggi mengikut arus perdana. KPM juga melancarkan Pelan Induk Pendidikan Islam Sepanjang hayat (PISH) dengan dasar pertamanya menyatakan semua murid tahfiz perlu diberi ilmu kemahiran TVET dan keusahawanan.
Gabungan dasar ini telah membentuk inovasi TVET-Tahfiz yang mengintegrasi antara hafalan Al-Quran dan pendidikan teknikal. Hari ini, pelbagai institusi TVET-Tahfiz di seluruh negara antaranya GIATMARA tahfiz, UniKL, Institut Kemahiran dan lain-lain. Graduan akan memperoleh juga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau diploma dalam bidang teknikal selain mendapatkan pengajian agama.
Sehingga kini, TVET-Tahfiz kekal relevan untuk dilaksanakan disebabkan kekurangan tenaga pakar profesional dalam bidang teknikal yang mempunyai asas agama yang kukuh. Graduan TVET-Tahfiz kini tidak lagi terbatas kepada peranan sebagai imam dan guru semata-mata. Malah berpeluang menceburi bidang keusahawanan seperti restoran yang menekankan nilai pengurusan halal dan patuh syariah yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat. Ini membuktikan kemahiran yang disertai dengan nilai tambah islam membuka peluang yang lebih luas kepada para pelajar tahfiz.
Konsep TVET-Tahfiz berbeza dengan TVET biasa membolehkan para graduan juga mempersiapkan diri dengan asas agama yang diterapkan nilai murni. Menurut Perdana Menteri, Malaysia kini memerlukan hampir 30,000 jurutera. Oleh itu, asas agama akan melahirkan seorang jurutera yang berkemahiran di samping menjaga tuntutan ukhrawi dengan nilai integriti, jujur dan berakhlak mulia dalam pekerjaan. Graduan TVET-Tahfiz ini mempunyai mentaliti mencari rezeki halal, justeru tidak akan melaksanakan sesuatu yang melanggar perintah Allah. Mereka juga akan memfokuskan kepada pemilihan sektor yang tidak menyalahi agama berbanding sekadar fokuskan keuntungan semata-mata.
Namun begitu, pengajian TVET-Tahfiz masih jauh dari kata sempurna dengan pelbagai cabaran yang masih dihadapi. Ketidakseimbangan antara pengajian agama dan pendidikan teknikal sering dibahaskan. Kurikulum antara TVET dan tahfiz akan menyebabkan pelajar menghadapi beban pelajaran yang berat. Hal ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan tenaga pengajar institusi tahfiz. Mereka khuatir bahawa pembelajaran pelajar akan terganggu akibat penglibatan dalam TVET. Pengajian agama memerlukan tumpuan yang mendalam dengan penekanan terhadap hafalan. Cabaran utama adalah penyesuaian pengajian agama dan teknikal bagi memastikan kedua-dua aspek ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Seterusnya, TVET-Tahfiz juga menghadapi kekurangan dari segi tenaga pengajar yang mahir dalam kedua-dua bidang. Ini disebabkan kurangnya modul profesional guru berkaitan TVET yang dilaksanakan di pusat pendidikan tahfiz.
Menurut Menteri dalam Dewan Rakyat, setakat tahun 2023 tiada langkah mewajibkan penerapan modul berkaitan TVET di semua pusat tahfiz awam dan swasta. Dengan itu, usaha penerapan modul perlu dilaksanakan dengan kerjasama pakar dari industri. Kerjasama ini adalah untuk memastikan kompetensi tenaga pengajar termasuk memastikan kemahiran yang diajarkan relevan dengan kehendak industri.
Kesimpulannya menurut KPT, sekitar 10% daripada graduan TVET di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN). Manakala 38 peratus daripada mereka mendapat gaji melebihi RM2,500. Statistik ini membuktikan kejayaan TVET sebagai laluan kerjaya yang memberi masa depan cerah. Dalam konteks ini, TVET-Tahfiz juga sedang ditambah baik agar setanding dengan graduan TVET biasa.
Bagi merealisasikan matlamat ini, kurikulum bersepadu antara pengajian TVET dan institusi tahfiz perlu diperkasa. Kurikulum ini dibentuk agar kedua-dua komponen dapat saling melengkapi seterusnya memenuhi Dasar TVET Negara 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) untuk membentuk tenaga mahir berdaya saing.
Oleh Abdul Latiff Abdul Rahman
Penulis adalah Ahli Parlimen Kuala Krai