Zahnita Wilson

KUANTAN – Keputusan Mahkamah Majistret Kuantan membenarkan jarak sekurang-kurangnya 50 meter antara suami dengan bekas model, Zahnita Wilson memberi kelegaan kepadanya.

Zahnita berkata, keputusan Perintah Perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) itu memberi kehidupan baharu demi keselamatan dirinya.

”Sangat lega, saya dapat semula kebebasan kerana perkara paling penting ialah perintah perlindungan untuk saya.

“Saya berasa saya bebas, sebelum ini saya fikir macam takut nak keluar, kini saya boleh mula menikmati kehidupan saya semula,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Majistret Wahida Zainal Abidin hari ini membenarkan Zahnita Wilson atau nama penuhnya, Zahnita Dorothy Hussien Wilson, 39, mendapat perintah perlindungan (IPO).

IPO merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anaknya dan saudara maranya.

Zahnita diwakili peguam Datuk Zaharman Zainal Abidin manakala responden, Abd. Zackery Ghouse Abd. Ghafoor, 46, diwakili  Tetuan Rusnizam dan Afiqq.

Prosiding yang berjalan lebih sejam itu antara lain turut menghalang responden daripada menggunakan kekerasan terhadap bekas model itu serta menghampiri kediaman wanita berkenaan.

Selain itu responden dihalang daripada menggunakan kekerasan rumah tangga terhadap pemohon termasuk menghasut mana-mana orang lain untuk melakukan keganasan rumah tangga terhadap Zahnita.

Pada 5 Disember lalu, suami Zahnita, Abd. Zackery, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan bekas pelakon tersebut.

Pada 6 Disember, Zahnita mendapat hak iterim hadanah terhadap empat orang anaknya yang berusia 18, 12, 7 dan 4 tahun daripada Mahkamah Tinggi Syariah Pahang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here