Air melimpah di Jalan Air Hitam dan ditutup untuk kenderaan ringan (kedalaman air anggaran lebih kurang 1 kaki).

KUALA LUMPUR – Bencana banjir bukanlah pesta air dan masa untuk bersuka ria, justeru anak kecil tidak seharusnya dibenarkan bermain air banjir walaupun cetek kerana risiko untuk dihanyutkan adalah tinggi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penduduk di kawasan-kawasan yang rendah dan berisiko dilanda banjir juga diingatkan  tidak memandang ringan ancaman banjir dan mengutamakan keselamatan semasa banjir serta peka kepada perubahan cuaca.

Katanya, keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat tanpa henti boleh mengakibatkan air sungai melimpah dan menyebabkan banjir muncul tanpa amaran.

Oleh itu, nasihatnya, mereka yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir supaya sentiasa peka dengan amaran banjir daripada pihak berkuasa.

Mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini cuaca dan situasi banjir melalui saluran radio, televisyen dan internet.

Wan Mohd Zahari turut mengingatkan apabila berlaku banjir, pastikan semua suis elektrik dan suis utama dimatikan untuk mengelakkan kejadian renjatan elektrik dan simpan semua dokumen penting di dalam bekas/ beg/ fail di tempat yang tinggi dan mudah diambil sekiranya perlu berpindah ke pusat pemindahan.

Apabila berlaku banjir, segera berpindah (ke pusat pemindahan/ rumah saudara lain/ tempat tinggi) seperti yang diarahkan pihak berkuasa tetapi pastikan rumah berkunci dan barang disimpan di tempat tinggi dan selamat sebelum berpindah.

Pesan beliau, jika terperangkap dalam banjir, hubungi pihak berkuasa untuk bantuan dengan melaporkan keadaan dan kedudukan anda.

Manakala bagi keluarga yang mempunyai warga emas atau uzur, jangan tunggu hingga ke saat akhir untuk memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat.

Dalam pada itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Wan Mohd Zahari berkata, eEkoran hujan yang berpanjangan dan berterusan, Balai Polis Jaya Gading membuat pemantauan kawasan berisiko banjir.

Dalam pemantauan itu mendapati paras air di Sungai Kampung Seri Damai berada pada bahaya.

Manakala Sungai Belat pada paras amaran.

Pemantauan di Jalan Air Hitam mendapati air melimpah ke jalan dan ditutup untuk kenderaan ringan (kedalaman air anggaran lebih kurang 1 kaki).
“Pemantauan berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here