SANDAKAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan sebuah kapal kargo dengan 111,391 liter minyak petrol bersubsidi bernilai RM228,351.55 dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran pada 19 November lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, kapal kargo berkenaan ditahan di perairan Sandakan pada kira-kira 7.48 malam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat daripada orang ramai, pasukan serbuan terdiri daripada anggota JKDM Cawangan Penguatkuasaan Lahad Datu dan Sandakan telah membuat serbuan ke atas sebuah kapal kargo tempatan disyaki berisi minyak petrol cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Pasukan serbuan menemukan minyak petrol terbabit dalam tangki dibuat khas di kapal itu. Seorang juragan kapal warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.
“Kapal itu telah disita dan kita sedang lakukan siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 139 Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan minyak bersubsidi. – Bernama