GOMBAK – Polis pada hari ini mengesahkan penemuan mayat reput yang ditemukan di laluan susur keluar Rawang Bypass dikenal pasti sebagai lelaki warga tempatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut daripada orang awam di kawasan hutan bawah Jalan Rawang Bypass pukul 9.30 pagi semalam.
Mayat lelaki berusia 48 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian serta memakai topi keledar.
“Kita juga menemui barangan peribadi milik si mati seperti dompet yang mengandungi kad pengenalan diri dan jam tangan,” katanya dalam kenyataan.
Mayat sudah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat akan dijalankan oleh Jabatan Perubatan Forensik HKL pada hari ini.
Buat masa ini kes terbabit diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Abang Kaderi mahu orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta membantu siasatan.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan Ketua Polis Balai Rawang, Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-296 9222 atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-612 62222. – MalaysiaGazette