KUALA LUMPUR – Malaysia turun dengan misi memburu tiga mata penting menentang pasukan Timor Leste dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 yang akan berlangsung pada malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente berkata, pasukannya sudah bersedia mengubati kekecewaan dalam aksi pertama yang menyaksikan Harimau Malaya hanya mampu berkongsi satu mata selepas terikat seri 2-2 dengan Kemboja di Nasional Olympic Stadium, Phnom Penh pada Ahad lalu.
Pau Marti juga mengambil serius lawannya Timor Leste dan mengharapkan anak buahnya mempamerkan aksi terbaik dan meraih tiga mata penting yang sangat diperlukan.
Ketika ini Thailand yang turut diundi dalam kumpulan sama dengan Malaysia mengungguli carta Kumpulan A selepas membelasah Timor Leste dengan jumlah jaringan besar Ahad lepas.
“Kami mengambil setiap perlawanan dalam Piala Mitsubishi Electric secara serius dan mahu fokus tiga mata penuh malam esok (Rabu).
“Saya pasti mereka (Timor Leste) tidak akan memberikan laluan mudah kepada kami untuk membuka jaringan dalam permainan esok namun kami sudah bersiap sedia.
“Selain itu, kita juga tidak meletakkan berapa banyak gol yang mahu jaringkan sebaliknya hanya mahu fokus permainan esok dan memberi aksi terbaik,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini hari ini.
Justeru Pau Marti juga menambah, beraksi di halaman sendiri stadium Bukit Jalil merupakan satu kelebihan.
Menurutnya, buat masa ini, semua 26 pemain dalam skuad kebangsaan berada dalam tahap kecergasan terbaik dan bebas dari sebarang kecederaan.
“Kita akan turun dengan mentaliti menang dalam setiap perlawanan untuk Piala Mitsubishi Electric kali ini dan dengan kehadiran penyokong tempatan nanti ia akan memberi kelebihan untuk beraksi dengan lebih semangat.
“Meskipun persiapan kami sangat singkat dan tiada masa untuk aksi persahabatan dan perlu travel dalam masa singkat kami tetap optimis dan akan berjuang untuk tiga mata penuh,” tegasnya.
Ditanya mengenai persiapan skuad kebangsaan untuk aksi ketiga menentang pasukan negara jiran terkuat Thailand hujung minggu ini, Pau Marti menegaskan, ia merupakan permainan yang sangat penting dan perlu diambil serius disusuli Singapura pada aksi seterusnya.
“Kami tahu selepas perlawanan esok perlu terbang ke Thailand menentang jiran kita tetapi saya akan cuba gunakan 26 pemain yang ada dan dirasakan bersedia untuk bantu kita kejar tiga mata seterusnya.
“Sekarang, fokus kami adalah tiga mata penuh menentang Timor Leste sebelum beralih kepada aksi lawan Thailand juga sangat penting,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette