KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menerbitkan garis panduan keselamatan maklumat dan rangkaian untuk industri komunikasi dan multimedia (INSG).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, langkah itu untuk meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di negara ini.
“JSJK, PDRM memahami dalam era digital yang semakin berkembang, ancaman siber menjadi salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh negara.
“Sistem komunikasi dan rangkaian yang canggih memerlukan perlindungan lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat, bukan sahaja untuk kepentingan individu, tetapi juga untuk menjaga kestabilan negara secara keseluruhan.
“Oleh itu, garis panduan yang diperkenalkan oleh SKMM ini adalah satu langkah yang amat penting dan wajar dipuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ramli, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menjaga keamanan dan keselamatan awam, PDRM mengakui kerjasama antara pihak berkuasa, termasuk SKMM, adalah kunci dalam mengurangkan risiko ancaman siber dan memelihara keselamatan maklumat yang berkaitan dengan sektor kerajaan, sektor swasta, serta komuniti rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Jelasnya lagi, langkah-langkah yang diterapkan melalui garis panduan ini juga diyakini akan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi data dan privasi, seterusnya mengurangkan kebimbangan terhadap pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin meningkat.
“PDRM akan terus memberi sokongan dan bekerjasama rapat dengan SKMM dalam usaha-usaha untuk memperkukuhkan keselamatan maklumat dan rangkaian negara.
“Kami juga akan terus melaksanakan inisiatif dan latihan yang berterusan untuk memastikan pasukan pdrm sentiasa bersedia dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks,” ujar beliau.- MalaysiaGazette