KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani antara Penang Development Corporation (PDC) dan PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld.
Pembangunan perumahan termasuk rumah mampu milik yang disifatkan terbesar dalam sejarah negara itu bernilai RM13 bilion itu akan dibina di Batu Kawasan Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Dengan jumlah keseluruhan 37,388 unit kediaman, 3,700 daripadanya adalah rumah mampu milik manakala 33,688 unit merupakan Rumah Bakat Baru Madani berharga antara RM225,000 hingga RM420,000.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap berharap projek boleh dimulakan dalam tempoh 40 hari selepas selesai proses kelulusan pembinaan.
“Akhir Januari atau minggu pertama Febuari kurang dua bulan semua kelulusan mesti dilakukan, masalah dibetulkan. Dalam tempoh dua minggu (selepas itu) projek mesti dimulakan.
“Kalau Kuala Lumpur (pembinaan rumah di KL) boleh mula dalam 45 hari tidak ada sebab Pulau Pinang tidak boleh capai 40 hari sebab itu adalah melibatkan keperluan untuk menyegerakan rumah untuk rakyat,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Kor Ming ketika berucap berkata, projek pembangunan tersebut boleh dianggap selangkah bagi merealisasikan sasaran membina 500,000 rumah mampu milik menjelang akhir tahun 2025.
“Justeru itu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang khasnya PDC dan PDC Properties.
“Tekad dan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri ini perlu dijadikan teladan dan model kepada negeri-negeri lain untuk menyahut saranan kerajaan dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan sasar iaitu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan bulan RM15,000 ke bawah,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow pula berkata, projek pembinaan rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh 15 tahun.
Jelasnya, rumah mampu milik dan Rumah Bakat Baru Madani akan dibina dengan menggunapakai teknologi IBS 3D -Prefabricated Prefinished Volumetric Construction atau dikenali dengan singkatan panggilan PPVC.
Menjadikan Pulau Pinang negeri pertama mengguna pakai teknologi tersebut selaras dengan pematuhan prinsip- prinsip Environmental, Social and Governance (ESG).
Rumah Bakat Baru Madani berkeluasan 900 kaki persegi terdiri daripada tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Ia akan dilengkapi dengan fasiliti seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan taman permainan.
Projek berkenaan menyasarkan golongan M40 iaitu yang berpendapatan seisi rumah di bawah RM11,800 sebulan.
Manakala rumah mampu milik Jenis A, berkeluasan minima 650 kaki persegi, jenis C3 pula minima 900 kaki persegi.-MalaysiaGazette