IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad antara individu yang membantu melangsaikan sebahagian tunggakan bayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sewaktu krisis melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) satu masa dulu.

Perkara itu didedahkan beliau sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Pelancaran Kejohanan Bola Sepak Perak Sejahtera 2030 Piala Menteri Besar Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini malam tadi.

Menurutnya, tunggakan itu dibayar selepas Bendahari PAFA pada ketika itu, Datuk Sham Mat Sahat mengadakan pertemuan memaklumkan situasi hutang persatuan tersebut yang mencecah jutaan ringgit.

“Satu ketika dahulu Datuk Sham Mat Sahat jumpa saya sewaktu hutang PAFA berjuta-juta. Saya baca Whatsapp orang maki MB (Menteri Besar) macam-macam. Kaki bangkulah, macam-macam.

“Tapi mereka tak tahu banyak mana saya terpaksa mencari duit membayar sebahagian daripada hutang itu. Tak payah sebutlah bagaimana saya membantu sedaya upaya untuk membayar hutang LHDN dan EPF (KWSP) yang ditinggalkan orang terdahulu.

“Oleh kerana niatnya ikhlas, nak kembalikan kecemerlangan PAFA, kita cari jalan macam mana untuk membiayai dan membayar hutang-hutang EPF dan LHDN.

“Maka daripada situ kita mengorak langkah dan daripada situ saya mengharapkan kita bermula dengan baik,“ katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, kejadian yang berlaku itu perlu dijadikan pengajaran.

“Oleh itu, kita jangan bermain politik dalam badan sukan. Datang ke badan sukan, janganlah dipolitikkan kerana ia akan menyebabkan kehancuran kepada badan sukan itu.

“Kita juga bersedia bantu PAFA dengan syarat ketepikan masalah titik bengik dalam persatuan itu,“ ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here