KUALA LUMPUR – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah berada di kawasan berisiko sebagai siap siaga menghadapi gelombang kedua banjir.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 82,000 anggota pelbagai agensi termasuk JBPM sudah dikerahkan bagi misi menyelamatkan mangsa terjejas.
Dalam gelombang kedua, JBPM sudah membekukan cuti kesemua anggotanya dan kebanyakan dari mereka yang terlibat sudah berada di lapangan.
“Setakat ini, kita lihat jumlah mangsa banjir semakin berkurangan serta pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah banyak ditutup.
“Oleh itu, kami harapkan cuaca untuk dua minggu inj akan kekal baik, tidak hujan lebat namun sekiranya banjir, ia akan ditangani bersama.
“Saya juga ingin menekankan bahawa pentingnya langkah pencegahan seperti ini daripada melaksanakan misi menyelamat,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut di JBPM Hang Tuah hari ini.
Dalam pada itu, Kor Ming turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.08 juta untuk diagihkan kepada PPS di seluruh negara.
“Sebelum ini PPS terima RM3,000 dan dengan peruntukan baharu ini, ia akan dinaikkan sehingga RM5,000 bagi setiap pasukan.
“Bagaimanapun, ia hanya diberikan kepada pasukan yang aktif membantu. Bagi pasukan kurang memberikan bantuan, saya serahkan kepada Ketua Pengarah membuat keputusan,” ujarnya. – MalaysiaGazette