SEOUL- Bekas Menteri Pertahanan Korea Selatan, Kim Yong-hyun yang cuba membunuh diri ketika ditahan di pusat tahanan di sini, berada dalam keadaan stabil.
Kementerian Kehakiman hari ini berkata, bantuan segera yang diberikan berjaya menghalang beliau daripada mengalami masalah yang lebih teruk.
“Pasukan perubatan memaklumkan keadaan beliau stabil dan tiada sebarang abnormaliti. “Beliau juga sedang ditahan di bawah keadaan normal,” katanya.
Menurut laporan agensi berita Yonhap, Kim ditemui cuba menggantung dirinya menggunakan seutas tali yang diikat bersama pakaian dalam di sebuah bilik mandi di Pusat Tahanan Dongbu Seoul jam 11.52 malam tadi.
Kejadian berlaku sejurus selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau.
Beliau diletakkan di bawah penahanan rasmi awal hari ini atas dakwaan membantu Presiden Yoon Suk Yeol melakukan pemberontakan semasa pelaksanaan undang-undang tentera, minggu lepas.
Pihak pendakwaan mengesyaki beliau mencadangkan pelaksanaan undang-undang tentera kepada Yoon dan mengarahkan pasukan gerak khas menyerbu Dewan Negara dan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.
Mengikut undang-undang, jika sabit kesalahan, tertuduh yang terlibat dalam pemberontakan boleh dihukum bunuh atau penjara seumur hidup atau dipenjara sekurang-kurangnya lima tahun.
Sementara itu, Pesuruhjaya Besar Perkhidmatan Penjara Korea, Shin Yong hae memberitahu jawatankuasa legislatif Parlimen bahawa Kim sedang ditahan di sebuah lokap perlindungan susulan insiden menggantung diri itu. -Agensi